Announcement :

Verify Halal Status :

Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali Ke 9

Putrajaya, 02 April 2018 - Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali Ke 9 telah diadakan pada 1 April 2018 sehingga 2 April 2018. Ucaptama konvensyen tersebut telah disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Hj. Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Le Meridien Hotel pada 2 April 2018, dihadiri oleh 700 orang delegasi dan peserta dari badan-badan pensijilan dan pemain-pemain industri halal dari dalam dan luar negara.

Selain itu, perjanjian persefahaman turut ditandatangan antara QSR Brands Sdn Bhd & Konsortium Institut Halal Malaysia (KIHIM) dan disaksikan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Perjanjian persefahaman ini adalah bertujuan untuk mewujudkan satu platform yang akan merancakkan perkongsian pintar kepakaran dan sumber antara akademi dan industri dalam usaha memperkukuhkan industri halal kebangsaan dan global.

Antara program-program lain yang menjadi tumpuan pada hari kedua ini ialah pembentangan dari Pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia berkenaan Pelancongan Mesra Muslim dan Elemen baru dalam ekosistem halal dari aspek kewangan Islam. Turut tidak ketinggalan dalam program hari ini ialah forum berkaitan perkongsian pengalaman dan informasi berkaitan Badan Pensijilan Halal Luar Negara dan masa depan industri halal.

Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali Ke 9 ini berakhir pada jam 4.00 petang dan delegasi serta peserta akan dirai dalam Majlis Makan Malam yang dihadiri oleh YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Haji Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.