Announcement :

Verify Halal Status :

Majlis Penyerahan SPHM Pembuka Tirai Misi Rahmah Halal Malaysia 2020

PUTRAJAYA, 13 Januari 2019 – Halal Malaysia terus memacu khidmatnya buat industri dan pengguna dalam misi pembuka tirai tahun 2020 melalui penganjuran Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang berlangsung hari ini di Kompleks Islam Putrajaya.

Program yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini telah berlangsung dalam suasana yang sederhana dan penuh harmoni bagi meraikan rakan-rakan industri yang berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan keperluan halal dipenuhi.

Ketika menyampaikan ucapan perasmiannya, beliau menyeru pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk terus mengupayakan ekosistem halal melalui pelaksanaan konsep 'halal built in' yang dibangunkan bermula dari akar umbi sehingga mampu diterjemahkan kepada seluruh proses pengeluaran produk atau perkhidmatan.

Menurutnya lagi, kesemua elemen berkaitan halal ini dapat dilunaskan melalui tanggungjawab yang diamanahkan kepada Jawatankuasa Halal Dalaman di sesebuah syarikat dalam menawarkan produk atau perkhidmatan yang terbaik, halal dan selamat kepada masyarakat selari dengan gagasan RAHMAH yang amat mementingkan keperluan serta memenuhi kemaslahatan ummah sejagat.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan agar pihak industri terus berganding bahu bersama JAKIM demi memacu halal sebagai 'nilai kemewahan' negara yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa menerusi usaha dan strategi mapan serta berkesan. Komitmen yang tinggi merupakan satu keperluan utama dalam merealisasikan agenda ini.

Untuk rekod, program pembuka tirai tahun 2020, anjuran JAKIM melalui Bahagian Pengurusan Halal ini merupakan program sulung YBhg. Dato' Paimuzi bin Yahya selaku Ketua Pengarah di Jabatan ini yang baharu sahaja diumumkan dalam Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi.

 

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-

 

http://bit.ly/FBHABHALAL

http://bit.ly/AktiviitiHabHalal

http://www.halal.gov.my/

http://www.islam.gov.my/

 

#YakiniHalalMalaysia

#HalalMalaysiaMenerajuiDunia

#HalalConnectingTheWorld

#RahmatanLil’Alamin

#Rahmah


1924537:185