Announcement :

Verify Halal Status :

JAKIM 'Mencuri' Tumpuan Negara Serumpun

PUTRAJAYA – Komitmen Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memastikan industri Halal terus berkembang mekar dan dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat telah 'mencuri' tumpuan dan menarik minat Komite Nasional Keungan Syariah Indonesia (KNKS) untuk 'terbang' ke Malaysia semata-mata untuk bertemu mata bagi melengkapkan kajian pembangunan halal global yang sedang dilakukan oleh kumpulan tersebut.

Delegasi yang terdiri daripada 5 orang tonggak utama KNKS ini diketuai oleh Tuan Afdhal Aliasar, Pengarah komite tersebut. Ketika ditemui, mereka amat teruja dan berpuas hati kerana dapat berkunjung dan berkongsi informasi serta mendengar sendiri perkembangan jua inisitiaf yang telah dibangunkan oleh JAKIM dalam mempergiat usaha ke arah menawarkan 'Produk-Produk' Mesra Industri seterusnya usaha membangun Malaysia sebagai Pusat Pembangunan Halal Global.

Kunjungan penuh wawasan ini telah disantuni oleh YBhg. Dato Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Pengarah Sekretariat Halal Malaysia (SHM) bersama pegawai-pegawai kanan SHM dan Bahagian Pengurusan Halal (BPH) JAKIM pada 24 Oktober minggu lepas.

Sirajuddin, dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa JAKIM sangat mengalu-alukan kerjasama serta sokongan daripada pemain industri, masyarakat awam serta agensi-agensi bagi memastikan ekosistem halal yang dibangunkan dapat terus dimanfaatkan. Kemajuan ini tidak perlu dihadkan untuk dinikmati oleh sebahagian masyarakat sahaja malah perkembangan positif industri halal di pasaran global pada masa kini perlu dikongsi manfaatnya secara bersama.

Walau bagaimanapun, Pengarah SHM tersebut turut menyatakan bahawa apa yang dilihat pada hari ini tidak boleh sama sekali dipandang sebagai satu usaha yang telah cukup malah, pelbagai usaha perlu dipergiat dan terus ditambah baik agar dunia Halal kekal dipersada sejajar dengan kemajuan Revolusi Industri 4.0.

Memetik ucapan semasa sesi perkongsian yang disampaikan, Sirajuddin turut menyebut bahawa cabaran dan dugaan sememangnya amat besar namun, ia tidak menjadi satu yang melemahkan semangat dan perlu ditempuhi.

Oleh yang demikian, usaha-usaha yang giat dilakukan oleh JAKIM serta agensi-agensi di luar sana untuk menjadikan industri halal terus berkembang dan menjadi fenomena ini tidak lain dan tidak bukan demi memastikan ia boleh dinikmati oleh ummah sejagat seterusnya menjadikan halalan toyyiban dapat diaplikasi dalam kehidupan seharian masyarakat. Oleh yang demikian, sokongan dan kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan.

 

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-

 

http://bit.ly/FBHABHALAL

http://bit.ly/AktiviitiHabHalal

http://www.halal.gov.my/

http://www.islam.gov.my/

 

#YakiniHalalMalaysia

#HalalMalaysiaMenerajuiDunia

#MelebarRisalahMenyantuniUmmah

#RahmatanLil’Alamin

#Rahmah


1484107:188