Pengumuman :

Semak Status Halal :

Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bahagian Pengurusan Halal Dan Bahagian Kawal Selia Halal Bersama Ketua Pengarah JAKIM

PUTRAJAYA, 19 November 2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Unit Integriti telah mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khusus untuk warga Bahagian Pengurusan Halal dan Bahagian Kawal Selia Halal Bersama YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM.

Majlis ini merupakan inisiatif pengurusan tertinggi JAKIM dalam menyokong usaha-usaha kerajaan membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan selain menzahirkan usaha memegang teguh prinsip integriti bagi memastikan kualiti pensijilan halal Malaysia terjamin dan terus diyakini oleh masyarakat.

Seramai lebih 50 orang warga Bahagian Pengurusan Halal dan Bahagian Kawal Selia Halal yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai serta kakitangan hadir untuk melafaz dan menandatangani IBR ini. Bacaan lafaz ikrar tersebut telah diketuai oleh Tuan Haji Bukhari bin Md Akhir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal dengan diiringi oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Pengarah Bahagian Kawal Selia Halal.

Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah Tuan Haji Ahmad Musadad bin Haji Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) dan Tuan Nik Mohd. Sukiman bin Nik Yusoff, Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).