| JABATAN AGAMA JOHOR BERSEDIA UNTUK e –HALAL |
|
|
|
| Isnin, 26 September 2011 06:37 |
|
Jabatan Agama Johor (JAJ) kini telah bersedia untuk melaksanakan sistem e-Halal bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sistem e- Halal merupakan sistem yang dibangunkan untuk permohonan pensijilan halal bermula daripada penerimaan dokumen sehingga kepada penyerahan sijil dilaksanakan secara atas talian dan sistem ini juga secara lansung akan mengasingkan permohonan mengikut kedudukan kilang secara automatik. Pelaksanaan sistem e- Halal ini adalah sebahagian daripada Mekanisme Penyeragaman Pensijilan Halal Bersama antara Jakim dengan Majlis/ Jabatan Agama Islam Negeri. Sebagai persediaan bagi melaksanakan sistem ini, JAJ dengan kerjasama Jakim telah mengadakan kursus Intensif Prosedur dan Sistem e –Halal Pensijilan Halal Malaysia pada 20 – 22 September 2011 kepada seramai 22 orang pegawai dan kakitangan dari setiap daerah di negeri Johor. Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Haji Elyas bin Hasran, Pengarah Jabatan Agama Johor. Beliau berharap dengan adanya sistem seperti ini, pensijilan halal di Malaysia amnya dan di negeri Johor khasnya dapat dipertingkatkan sejajar dengan arus teknologi yang semakin canggih. Puan Hakimah binti Mohd Yusof, Pemangku Pengarah Bahagian Hab Halal yang merasmikan perasmian penutup majlis tersebut berharap supaya sistem e- Halal ini menjadi tranformasi kepada pensijilan Halal Malaysia yang menggabungkan semua pensijilan halal negeri-negeri yang akan memudahkan permohonan, pengumpulan data serta statistik dan seterusnya memperkasakan lagi Pensijilan Halal Malaysia.
|