| DIALOG JAKIM-MICMA |
|
|
|
| Isnin, 22 Ogos 2011 06:27 |
|
DIALOG JAKIM-MICMA Dek kerana rempah ratus, Tanah Melayu dikenali oleh dunia perdagangan lebih 500 tahun dahulu. Rempah ratus juga adalah cerminan wajah-wajah pelbagai kaum di Malaysia yang hidup dengan penuh harmoni. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh kita dinafikan. Hari ini, rempah ratus terus bertapak kukuh khususnya dalam industri makanan halal negara. Pada 18 Julai 2011, Bahagian Hab Halal JAKIM telah mengadakan dialog bersama Persatuan Perusahaan Serbuk Kari dan Tepung India Malaysia (MICMA) di Cyberjaya. Majlis dipengerusikan oleh Encik Che Husain bin Isa, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal JAKIM. Sepanjang tempoh dua jam, pelbagai perkara mengenai permasalahan semasa yang dihadapi oleh industri dalam proses mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah dibincangkan dan diperjelas. Pihak MICMA seramai 25 orang yang diketuai oleh Presidennya, Dr. T.V.K. Balakrishnan turut mengemukakan beberapa pandangan dan saranan penambahbaikan terhadap pensijilan halal Malaysia. Dialog tersebut juga telah membuka ruang kerjasama kepada kedua-dua belah pihak di mana ia dapat membantu JAKIM untuk menyalurkan apa-apa maklumat terkini mengenai halal kepada pihak industri dengan lebih berkesan. Ia juga berjaya mendekatkan JAKIM dengan industri khususnya para ahli MICMA. Di akhir majlis, para ahli melahirkan rasa gembira atas hasil dialog yang telah berjaya menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul semasa proses permohonan pensijilan halal. Mereka juga berpuashati dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh JAKIM dan bersemangat untuk sama-sama menyokong pensijilan halal Malaysia. |