KUALA LUMPUR: Tiada istilah remeh-temeh dalam syarat pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebaliknya tindakan JAKIM memperketatkan pengeluaran sijil berkenaan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan ia mengikut piawaian yang betul.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tindakan JAKIM itu adalah bagi memastikan setiap pemohon sijil halal akan melalui proses yang sepatutnya kerana ia membabitkan soal hukum.
Ini bukan soal remeh-temeh, tetapi prosedur yang perlu bagi memperoleh sijil itu. Sama seperti ketetapan untuk syarikat memperoleh ISO, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria dan prosedur sebelum ISO dikeluarkan.
Jadi, jika mahu sijil halal, kita perlu melalui beberapa prosedur halal kerana jika tidak, kita bukan saja menipu rakyat, tetapi juga menipu agama, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan Negara Anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC) Ke Arah Penubuhan Organisasi Zakat Antarabangsa (IZO), di sini semalam.
Beliau mengulas dakwaan dan rungutan beberapa pengusaha yang mendakwa prosedur remeh-temeh dan syarat terlalu ketat menjadi punca persijilan halal sukar diperoleh.
Katanya, pengeluaran dengan syarat ketat penting bagi memastikan ia tidak menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat Islam.